//icon page//

Photobucket
Sila berkunjung ke blog baru saya..


http://setajam-al-qadib.blogspot.com

Thursday, July 17, 2008

ANWAR diTAHAN.........

KUALA LUMPUR, 16HB JULAI, 2008 3.30 PM

Petang ini jam 1.05 petang Anwar Ibrahim, Mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ditahan di luar rumah beliau di Kuala Lumpur. Beliau dijadualkan untuk memberi kenyataan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada jam 2.00 petang berasaskan perjanjian yang dicapai dengan pihak polis pada hari Selasa lalu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam perjalanan pulang dari Ibu Pejabat Badan Pencegah Rasuah ke rumah beliau selepas memberi kenyataan berkenaan laporan polis yang dibuatnya. Laporan tersebut berkaitan pemalsuan serta penyembunyian bukti-bukti kes oleh Tan Sri Musa Hasan dan Tan Sri Gani Patail pada tahun 1998 yang membabitkan Datuk Seri Anwar. Beliau diiringi para peguam, staf dan pasukan keselamatan.

Pasukan polis yang disertai 10 buah kereta, separuh darinya tidak dapat dikenali, telah memaksa rombongan Datuk Seri Anwar untuk berhenti sejurus mereka memasuki persimpangan Bukit Segambut. Pasukan polis ini juga terdiri dari Unit Tindakan Khas yang berjumlah 20 orang bertopeng, mengingatkan kita kepada peristiwa tahun 1998.

Seorang pegawai terus mendekati Datuk Seri Anwar Ibrahim dan meminta beliau turun untuk menaiki kenderaan yang disediakan polis ke Ibu Pejabat Kontijen Polis Kuala Lumpur( IPK KL). Para peguam beliau tidak dibenarkan untuk bersama dalam satu kenderaan menuju ke IPK KL.

Penangkapan ini terjadi kurang dari 15 jam selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul buat julung kalinya secara siaran langsung di Televisyen Malaysia semenjak tahun 1998. Beliau mengumumkan kepada para penonton akan hasratnya untuk bertanding pilihanraya kecil dan selepas berjaya membentuk kerajaan baru, akan menurunkan harga minyak petrol tempatan sebanyak 50 sen.

Majoriti rakyat Malaysia gembira dan menyatakan sokongan ke atas kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika siaran tersebut.Insiden penangkapan ini mengejutkan serta menunjukkan segala episod yang berlaku bagaikan satu ulangan tindakan yang dikenakan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Minggu-minggu kebelakangan ini menyaksikan media arus perdana yang dimiliki kerajaan mulai menabur fitnah dan memburukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kakitangan beliau diganggu dan kita menyaksikan satu konspirasi telah bermula untuk merencatkan perubahan politik yang kian hampir. Rakyat Malaysia dan komuniti antarabangsa walau dalam apa jua keadaan sekalipun tidak akan membenarkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dicederakan. Perdana Menteri Abdullah Badawi mesti berpegang pada janji untuk memastikan keselamatan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kami berjaya berkomunikasi dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beliau meminta para penyokong dan rakyat Malaysia untuk tetap bertenang supaya tidak ada alasan bagi pihak kerajaan untuk mengisytiharkan darurat. Oleh itu beliau menyeru agar rakyat Malaysia dan para penyokong menolak sebarang bentuk provokasi.

0 comments: